31 haribulan Ogos. Hari Kemerdekaan negara tercinta kita.
Saya masih ingat lagi semasa saya masih di alam persekolahan dulu. Saya dan rakan-rakan saya sememangnya menunggu hari tersebut. Maklumlah kita cuti sekolah. Apa lagi, kita pun membuat rancangan kita untuk bersiar-siar kat ibukota sebelah petang pada Hari Kemerdekaan. Sebab di sebelah pagi, kita boleh dikatakan “agak bersemangat” untuk menonton perarakan Hari Kemerdekaan di televisyen.
Saya berpesan kepada ibu saya supaya bangunkan saya sebelum pukul 7.00 pagi. Saya tidak kisah kalau bangun pagi seawal pukul 7.00 pagi. Janji, dapat menonton perarakan Hari Kemerdekaan di televisyen.
Tepat pada pukul 7.00 pagi pada Hari Kemerdekaan, saya dibangunkan oleh ibu saya. Dengan keadaan separuh tidur, saya bertanya ibu saya kenapa bangunkan saya awal sangat. Ibu saya bertanya saya “Hei, awak tak nak tengok perarakan merdeka ke?” Oh ya, saya sudah lupa pula. Serta merta, tidur lena saya hilang dan saya terus berlari ke bilik tamu untuk membuka televisyen. Begitu semangat saya sehingga saya lupa nak kemaskan balik tempat tidur. Kedengaran suara ibu saya dari bilik tidur. Nasib baik, ibu saya tidak marah saya kali ini kerana dia tahu bahawa saya sememangnya menunggu saat ini.
Acara membaca ikrar oleh pelajar-pelajar di Dataran Merdeka memberi saya satu semangat patriotik. Bibir saya secara spontan menuruti setiap ayat ikrar yang tertera di kaca televisyen. Saya berasa megah sekali untuk mengelar diri sendiri sebagai “Rakyat Malaysia”.
Saya kagum dengan perbarisan yang disertai oleh masyarakat berbilang kaum. Bersatu sepadu untuk menjayakan hari yang istimewa ini. Ada juga pakaian seragam yang melucukan. Maklumlah, nak kelainan dari peserta-peserta yang lain. Lintas hormat oleh pancaragam sekolah juga dinanti-nantikan sebab sekolah saya juga mengambil bahagian. Selain itu, ketua pancaragam adalah rakan sekelas saya juga.
Acara yang saya tak sabar – sabar menunggu ialah perarakan lintas oleh Angkatan Tentera Malaysia. Perbarisan dan kawad yang amat rapi oleh anggota Tentera seolah olah memukau saya. Perarakan lintas oleh peralatan-peralatan canggih Angkatan Tentera seperti meriam, kereta kebal adalah acara kemuncak sepanjang acara-acara di Dataran Merdeka.
Tiba-tiba terdengar bunyi (ala Harley Davidson) dari perut saya. Saya lihat jam di dinding. Rupa-rupanya waktu sudah 12.30 tengahari. Sejak saya bangun tadi, saya belum makan minum apa-apa lagi. Saya pun terus ke bilik air kerana tak lama lagi, kawan-kawan akan sampai di rumah. Semasa tengah mandi, perarakan Hari Kemerdekaan masih bermain di mata saya. Betapa megahnya saya melihat negara saya menyambut Hari Kemerdekaan.
Selamat Hari Kemerdekaan yang ke-48. Merdeka!
(Gambar dipetik dari laman web Utusan Malaysia)
[Ini adalah belog istimewa dalam Bahasa Kebangsaan sempena Hari Kemerdekaan. Kalau terdapat sebarang kesilapan dalam belog ini, janganlah merajuk, kesilapan tersebut tidak disengajakan]